02 February 2010

Posted by jinson on Tuesday, February 02, 2010 1 comment
Hadis Nabi “Bahawa dalam badan anak Adam itu ada segumpal darah. Apabila segumpal darah itu baik, baiklah seluruh badan anak Adam itu. Apabila gumpalan darah itu rosak, rosaklah seluruh badan anak Adam itu. Perhatikanlah, bahawa yang dimaksud itu adalah hati”.

Kenapa hati penting?

Dari sudut Islam
Hati tempat letaknya niat. Hadis Nabi “Setiap amalan bergantung pada niat.” Hati menjadi tempat Allah menilai amalan hambaNya. Kata ulamak “Boleh jadi amalan kecil menjadi besar kerana niat dan boleh jadi amalan besar menjadi kecil kerana niat”.

Dari sudut sains
Hati merupakan tempat filter darah. Darah yang mengalir dalam tubuh badan kita akan dibersihkan dan disaringkan dari racun-racun ke tubuh badan melalui permakanan dan pernafasan.

Jika dilihat pada kedua-dua sudut ini, terdapat persamaan iaitu tapisan.

Hati perlu dijaga dari sebarang perkara yang boleh mendatangkan mudharat kepadanya. Sekiranya berlaku pada hati seperti rosak, buta, sakit ataupun mati, kesannya membabitkan seluruh tubuh manusia . Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat seperti jenayah kolar putih, jenayah jalanraya, dan seumpamanya.

Bagaimana hati boleh mati?

1. Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah.
Allah berfirman bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

2. Hati akan mati sekiranya tidak diberikan makanan rohani secukupnya. Kalau tubuh badan boleh mati sekiranya tuannya tidak memberi makanan dan minuman, begitu juga hati.

Tanda-tanda Hati Mati.

Kata Ibrahim Adham kepada anak muridnya:
1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya :
“Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.”

Cara-cara menjaga Hati:

1. Mengingati Mati
"Perbanyaklah kalian mengingat mati, sebab seorang hamba yang banyak mengingat mati, maka Allah akan menghidupkan hatinya, dan Allah akan meringankan baginya sakit saat kematian." (HR. Dailami)

2. Mendalami Ilmu
Hadis yang diriwayatkan daripada Muaz Bin Jabal :
“Pelajarilah ilmu maka sesungguhnya mempelajari ilmu kerana Allah adalah untuk menakutkan dan menuntut ilmu adalah ibadah dan mempelajarinya adalah tasbih dan berbahas dengannya adalah jihad dan mengajarnya bagi orang yang tidak mengetahui adalah sedekah dan mengajar ahli keluarganya mengenai halal dan haram adalah satu usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana ia mengajar kepada benda halal dan haram dalam menakutkan kepada Allah dan menjadi rakan ketika kesunyian dan menjadi dalil ketika senang dan susah dan menjadi perhiasan ketika keseorangan dan menjadi rakan ketika berdagang dan Allah angkat darjat mereka dikalangan mereka dan menjadikan mereka pemimpin yang menjadi ikutan orang lain. Kerana Ilmu menghidupkan hati yang buta dan memberi cahaya kepada yang gelap dan memberi tenaga kepada yang lemah dan telah mencapai hamba ketahap yang merdeka dan menduduki bersama raja-raja dan mencapai darjat yang tinggi di dunia dan juga akhirat. Dengan ilmu ia boleh taat kepada Allah SWT, dengan ilmu ia menyembah Allah dengan ilmu ia menghubungkan tali sillturrahim, dengan ilmu ia dapat mengetahui yang halal dan yang haram dan menjadi perintis kepada amal. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:35-36.)

3. Bersama dengan orang-orang soleh dan orang-orang berilmu.
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama. (Surah Faathir: Ayat 28).

“Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agamaMu dan mentaatiMu”.

p/s: Mati akan datang menjemput kita bila-bila masa sahaja. Baru-baru ni, ada sorang kat daerah Pendang, dijemput Allah di atas jalan, tapi yang manisnya beliau seorang kaki masjid dan mati dalam perjalanan pergi mengajar tentang Ad-Deen kepada masyarakat. Beliau mati dalam keadaan senyuman terukir pada wajahnya. Subhanallah
Categories:

1 comments:

bidadatun said...

Susahnya nak menjaga hati,walaupun hati sendiri... selalu terbabas, terkadang insaf, tp sering juga terkandas... :(