18 July 2009

Posted by jinson on Saturday, July 18, 2009 1 comment
Pada 28 Jun 2009 bermulalah satu episode baru dalam hidupku. Pada jam 10 malam, bas Konsotium Mutiara AS akan membawa diriku ini ke sebuah negeri yang tidak asing lagi bagi diriku. Walaupun begitu, kali ini pemergianku ke negeri itu lain dari sebelum-sebelum ini. Jika sebelum ini, aku ke sana utk menziarahi sahabat-sahabat dan melancong, membeli belah, tetapi kali ini aku membawa misi yang sangat berat bagi perkiraanku. Bas yang aku naiki membawa diri ini menuju ke destinasi, mindaku terus memikirkan tentang apa yang bakal aku hadapi nanti. “Sampai di sana nanti, aku akan hubungi sahabat aku yang berhampiran dengan Pondok Pasir Tumbuh” fikiranku terus ligat berfikir. Jantungku berdengup kencang. Mataku tidak terasa mengantuk. Lenaku tidak nyenyak. Pengembaraan kali ini terasa amat berlainan. “Bolehkah aku menetap di Pondok tu nanti? Bagaimana dengan urusan kerja ku nanti..”
“Takpa, jangan risau, kita pergi tengok dulu situasi di sana macam mana? Nanti kita putuskan semula” hati kecilku terus memujuk diriku supaya tidak terus bimbang..

Aku tiba di destinasi pada jam 4.50 pagi. Memandangkan aku sudah biasa dengan jalan di sekitar Bandar itu, aku membawa sahabatku ke sebuah masjid berhampiran. “Berat jugak beg ni…harap-harap masjid tu tidak berkunci..” Kami berjalan dan terus berjalan, membawa beg yang berat menuju ke masjid.. Kelihatan ramai orang sedang berehat-rehat di kawasan tangga bangunan di sebelah stesen bas itu.. Aku memutuskan untuk terus ke masjid, pada perkiraan ku, rasa agak tidak selamat berada di situ. Sampai di masjid tersebut, kami cuba membuka semua pintu yang ada. Tetapi hasilnya agak mengecewakan. Pintu semuanya berkunci. “Biasalah, masjid zaman moden, sentiasa berkunci”. Bila ditanya kenapa berkunci. Pasti jawapan yang sama akan diberikan oleh Tok Siak“Takut pencuri masuk. Nanti habis barang2 dalam masjid dikebas pencuri”. Hai..Apa la nak jadi dengan masyarakat sekarang. Barang-barang masjid pun nak dikebas. Kalau ya pun pencuri, hormatla sikit Rumah Allah tu..

Sementara menunggu masjid tersebut dibuka, kami mengambil keputusan untuk bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran masjid tersebut. Rasa lebih selamat. Apabila azan subuh berkumandang, kami terus bergegas ke masjid, untuk menunaikan solat dan berehat sekejap.

“Akak, kami dah sampai. Kami tunggu akak kat masjid ****” aku menaip mesej. Pengembaraan kami disambung semula. Memandangkan kami tidak mempunyai kenderaan, terpaksalah kami memilih untuk menaiki bas. Kami tak kisah, asalkan selamat sampai ke rumah sahabatku, itu dah kira Alhamdulillah.. Kami dibawa oleh kakak menaiki bas dari Bandar tersebut ke rumahnya yang berhampiran dengan Pasir Tumbuh. Sampai di rumah kakak, kami disambut manis oleh ibu kakak. Sepanjang berada dirumah kakak, ibu kakak banyak memberi nasihat dan semangat kepada kami. Beliau banyak menceritakan pengalaman dan kisah-kisah hidup beliau. Seorang yang tegas dengan anak-anaknya, tetapi hatinya penuh dengan kasih sayang. Aku banyak belajar ilmu mendidik anak-anak daripada beliau.

Pada petang itu, kakak mengajak aku ke tempat kerja ku. Memandangkan ibu saudara kakak sedang lapang, aku terus bersetuju dengan cadangannya. Agak susah untuk mencari pejabat tempat ku kerja itu. Akhirnya, selepas mendapat petua jalan, kami berjaya menemui pejabat IA-TECH itu. Ambik peluang, berjumpa sekejap dengan Bos. Selepas berborang tentang kerja, kami berangkat pulang. Sepanjang perjalanan pulang, ibu saudara dengan kakak asyik mengenakan aku. “Ish…siapla depa ni..nanti lepas aku pandai cakap bahasa depa, siap la…” Aku bermonolog… ;) Kami singgah sebentar di sebuah pasar malam. Membeli belah sebentar. Memandangkan aku kurang selesa berjalan di tempat orang ramai, aku mengambil keputusan untuk tidak meronda ke semua gerai yang ada. Selesai membeli belah, kami terus ke rumah kakak. Solat dan makan. Selepas isyak, kami bertolak ke Pondok Pasir Tumbuh. Sampai disana, disambut dengan manis oleh seorang muslimah dari Sabah. Dia membawa kami ke atas, tempat penginapan sementara. Kami berta’aruf dengan pelajar-pelajar di pondok tersebut. Masing-masing teruja menerima kedatangan kami. Kami dimaklumkan pada pukul 10 malam nanti, ada kuliah pengajian berkaitan wanita. Hatiku gembira sekali. “Alhamdulillah, datang-datang terus ada pengajian. Semoga hatiku dilapangkan untuk menimba ilmu di sini”. Mataku tiba-tiba tertarik melihat sekumpulan muslimat sedang berkumpul. Aku bertanya kepada sahabat yang telah lama belajar di Pondok itu “Wan, depa tengah buat apa tu?”
“Oh…depa tengah bermuzakarah. Muzakarah kitab yang telah dipelajari. Kat sini memang selalu ada muzakarah macam tu. Kalau ada kemusykilan apa-apa, atau tak faham tentang apa-apa yang dipelajari, kita boleh mintak akak-akak yang dah lama dan pandai mengajaq, mintak akak tu muzakarah.” Terang sahabatku dengan penuh semangat. Aku mengangguk faham. Wah! Seronoknya melihat suasana sebegini. Muzakarah kitab. Dari muzakarah ini, boleh melatih untuk mengajar masyarakat nanti.

Pada Jam 10Malam, ustazah yang mengajar kuliah pengajian wanita tiba. Semua pelajar-pelajar mengelilingi ustazah. Aku dimaklumkan, ustazah ini lebih suka dipanggil Mak Cik. Menurutnya, lebih mesra jika dibahasa dirikan Mak Cik. Aku mendengar dengan penuh kusyuk. Alhamdulillah, walaupun aku tidak mempunyai kitab yang sedang diajar oleh mak cik, ada seorang pelajar sudi berkongsi kitabnya dengan aku. Sekiranya ada yang aku tidak faham, aku terus bertanya pada pelajar itu. Aku kagum mendengar penjelasan dari pelajar itu. Bahasa yang digunakan adalah serupa dengan ayat di dalam kitab itu. Rupa-rupanya pelajar-pelajar di situ disarankan menghafal setiap bait dalam kitab. Bahasa kitab sungguh indah. Mempunyai maksud yang sangat jelas dan tepat. Mak Cik mengingatkan kami semua, supaya betulkan niat belajar di sini. “Kita belajar disini bukan untuk diri kita sahaja, tetapi untuk masyarakat. Biar mengaji tu, sampai boleh mengajar orang lain..” Mak cik terus menyampaikan mutiara nasihat nya kepada semua pelajar yang hadir. Selesai belajar, kami mengikuti pelajar-pekajar lain membaca surah-surah sebelum tidur.

Pada keesokkan hari, kami mengikuti kuliah pengajian hadith 40. Selesai sahaja kuliah tu, kami terus dibawa oleh wan mariyam al-kubra menemui anak tuan guru pondok. Selepas selesai berbincang, aku memutuskan untuk mencari rumah sewa yang berhampira tempat kerja. Hasratku untuk menetap di pondok itu terpaksa dikuburkan. Pondok itu tidak membenarkan pelajar-pelajarnya belajar sambil bekerja. Lagipun peraturan pondok sekarang semakin ketat. Jika hendak keluar, perlu berteman, dan perlu mendapatkan pengesahan dari tiga orang. Akhirnya, aku memutuskan untuk memintak bantuan dari sahabat aku yang sedang belajar berhampiran tempat aku bekerja. Alhamdulillah, segala urusan mencari rumah sewa dipermudahkan Allah. Aku berjaya mendapat sebuah rumah sewa yang berhampiran dengan tempat aku bekerja. Selepas menghubungi tuan rumah itu, aku memutuskan untuk terus berpindah ke sana. Hanya berbekalkan petua jalan yang sangat ringkas, aku dan sahabat-sahabatku pergi mencari rumah sewa itu.

“Rumah tu color pink, 2 tingkat, terletak di sebelah hospital ***” begitulah petua yang diberikan kepadaku oleh tuan rumah itu, Mek nama panggilannya. Kami mencari-dan terus mencari. “Eh..tu rumah warna pink kan?” tanyaku kepada sahabat-sahabat yang menemani tu untuk mendapat kepastian.. “Ye la”. Aku terus menemui anak tuan rumah itu. Selepas memperkenalkan diri, kami dibawa oleh anak tuan rumah itu ke rumah baru itu. Aku dimaklumkan rumah itu baru sahaja siap dibina. Terkejut tak sanggah dah…dalam rumah itu masih penuh dengan alat-alat pembinaan rumah. Sahabat-sahabatku meluahkan rasa hati mereka tidak sampai hati nak tinggalkan aku dirumah itu yang masih kosong. Aku terus memberikan keyakinan kepada mereka supaya tidak risau dengan keadaan rumah itu dan aku menggunakan alasan bahawa mereka harus segera pulang ke pondok kerana petang ni akan ada kuliah pengajian kitab Muhimmah (Kitab Kahwin). Sapa sanggup lepaskan kuliah itu. Selepas menghantar mereka pulang, aku bergegas mencari pasaraya berdekatan untuk membeli keperluan asas. Memandangkan rumah itu masih kosong, aku memutuskan untuk membeli tikar, pengangkut baju, air dan roti. Selesai membeli, aku terus bergegas ke rumah sewa. Tiba-tiba kedengaran suara riuh rendah dari rumah sewaku itu. Aku terus segera masuk ke rumah itu. Rupa-rupanya Mek sedang membasuh rumah itu dengan anak-anaknya. Aku sungguh terharu, dapat tuan rumah sebaik itu.

Timbul jugak rasa takut, yela rumah kosong, baru siap pulak tu. Aku mulakan dengan sembahyang hajat, mintak Allah lindungi aku dari segala bahaya. Kemudian, aku membaca yasin, memohon supaya diberkati rumah ini, supaya menjadi penyejuk mata bagi yang melihatnya, penawar hati kepada penghuninya, menjadi sebuah medan berkasih sayang dan sebuah rumah yang mahabbah warahamah.. “Ya Allah, jadikan rumah ini penghuni-penghuninya yang beriman, sentiasa mendekatiMu Ya Allah. Ya Allah, jauhkanlah penghuni-penghuni ini dari kema’siatan dan kejahatan ya Allah. “

Selama hampir seminggu aku keseorangan di rumah ini. Pelbagai ujian dan dugaan aku tempuhi. Seringkali air mata ini menangis, memohon pada Ilahi agar ditabahkan untuk mengadapi hari-hari mendatang dibumi orang. Aku bersyukur kerana ditempatkan aku di bumi ini. Bumi yang mengajar aku erti kehidupan sebenar..

Bersambung….
Categories: ,

1 comments:

raira-chan said...

assalamualaikum

hai kawan jangan takut jangan resah.jangan takut akan gelap :) mudah2an ALLAH akan melindungimu selalu saudara seIslamku.aminn