13 May 2009

Posted by jinson on Wednesday, May 13, 2009 No comments
Rumah Rasulullah saw. Telah dikepung. Sebelas kumpulan penjahat daripada pelbagai kabilah mengintai di sebalik tempat pensembunyian mereka. Bersiap sedia dengan senjata masing-masing. Mata mereka liar nyaris tidak berkelip mengawasi setiap celah yang memungkinkan Rasulullah s.a.w keluar.

Dalam situasi yang amat genting itulah, Rasulullah menyuruh Ali bin Abi Talib tidur di tempatnya sambil mengenakan selimut yang biasa baginda guna. Kemudian, baginda keluar dari rumah tanpa diketahui para pengepungnya. Rasulullah terus menuju ke rumah Abu Bakar as-Siddiq. Melalui pintu belakang, mereka berdua merempuh perjalanan kea rah selatan sejauh lima batu. Mereka berdua tiba du Gua Tsur, di atas puncak sebuah bukit yang cukup tinggi. Selama 3 hari mereka berdua bersembunyi di gua itu.

Setelah mengetahui keadaan yang cukup selamat, dengan ditemani seorang penunjuk jalan bernama Abdullah bin Uraiqith, Rasulullah saw dan Abu Bakar meneruskan perjalanan kea rah selatan. Setelah melewati daerah pantai dan kawasan sepi yang hamper tidak pernah dilalui orang, mereka kembali kea rah utara menuju ke Madinah. Pada hari Isnin 8 Rabiul awal tahun ke 14 kenabian, bertepatan 23 September 622M, Rasulullah tiba di Quba’. Di sana baginda mendirikan masjid dan tinggal selama 4 hari di situ. Setelah itu bersama beberapa orang sahabat yang datang menjemputnya, baginda bergerak menuju ke Madinah.

Kisah perjalanan hijrah Rasulullah saw tidak asing lagi bagi kita. Sebuah kisah yang sarat dengan pengajaran. Ia tidak hanya menjelaskan peristiwa hijrah Rasulullah dari tanah kelahirannya, Mekah menuju ke negeri hijrahm Madinah. Tapi menyimpan pelbagai strategi, taktik dan siasat jitu menghadapi musuh.

Kejayaan Rasulullah menyelamatkan diri daripada kepungan musuh dan kejaran orang yang ingin membunuhnya itu tidak cukup dijelaskan semata-mata kerana pertolongan Allah. Meski itu yang paling utama, tetapi aspek usaha Rasulullah sebagai seorang manusia pun sangat nyata. Bahkan, jika diteliti, pertolongan Allah itu muncul dan menjadi kunci kejayaan setelah segenap usaha dilakukan.

Bagi mengelabui mereka yang mengepung rumahnya, Rasulullah menyuruh Ali bin Abi Talib supaya tidur di tempat tidur baginda. Baginda juga menjangkakan, musuh akan mengejar kea rah Madinah. Untuk itu, baginda bersembunyi di Gua Tsur yang letaknya bertentangan dengah arah Madinah. Rasulullah juga menyuruh Amir bin Fuhairah, bekas hamba Abu Bakar mengembala kambing di sekitar dan sepanjang jalan menuju ke gua. Selain untuk diambil susu, ia juga untuk menghilangkan jejak.

Bagi mengetahui keadaan lawan, Rasulullah menyuruh Abdullah bin Abu Bakar menginap bersama-sama mereka di gua dan sebelum matahari terbit, dia sudah berada di Mekah. Dengan demikian, Rasulullah mengetahui semua rancangan orang-orang kafir yang tersu mengejar dan ingin membunuhnya. Sebaliknya, orang-orang kafir tidak pernah curiga kerana Abdullah bin Abu Bakar selalu bersama mereka di siang hari.
Selama 3 hari bersembunyi di dalam gua, Rasulullah dan Abu Bakar tidak kelaparan, kerana Asma’ sentiasa membekalkan makanan kepada mereka. Dengan cerdik, puteri Abu Bakar itu menyembunyikan makanan yang dibawanya di pinggang. Oleh itu, dalam sejarah dia dikenali dengan ‘Dzatun Nithaqain’ (Pemilik Dua Ikat Pinggang).

Namun semua itu hanya usaha maksimum manusia. Yang berhak menentukan kejayaan dan kegagalan hanyalah Allah. Buktinya, walaupun Ali bin Abi Talib telah diperintahkan tidur di tempat tidur baginda, tetap sahaja ada antara para pengepung yang baginda telah keluar. Kekuasaan Allah jualah yang mampu menutup mata dan hati para pengepung sehingga Rasulullah berhasil menyelamatkan diri. Meski sudah berusaha semaksimum mungkin mengatur siasatan, tetap sahaja para pengejar berjaya menemui tempat persembunyian Rasulullah dan Abu Bakar. Hanya kekuasaan Allah jualah yang mampu menggerakkan hati orang-orang kafir itu untuk tidak masuk ke dalam gua. Kekuasaan Allah jualah yang telah menggerakkan hati burung merpati untuk bertelur di pintu gua. Kekuasaan Allah pula yang memerintahkan labah-labah merangkai sarangnya menutupi pintu gua. Dengan demikian, orang-orang kafir ketika itu sudah berdiri di pintu gua, tidak curiga di dalamnya ada Rasulullah dan Abu Bakar yang sedang bersembunyi.

Meski sudah berusaha semaksimum mungkin memilih jalan paling selamat ke Madinah, tetapi Suraqah bin Naufal mampu menemui mereka. Lagi-lagi dengan pertolongan Allah yang menyebabkan kaki kuda Suraqah terpelecok sehingga menyebabkannya tidak sanggup menangkap ataupun membunuh Rasulullah saw.

Tidak hanya pada peristiwa hijrah perkara ini berlaku. Menghadapi pasukan Ahzab yang jumlahnya berlipat kali ganda, Rasulullah saw dan kaum muslimin sudah berusaha semaksimum mungkin. Bagi membentengi diri daripada serbuan musuh, kaum muslimin menggali parit yang mengelilingi hamper setengah keliling Madinah. Rasulullah saw pun menyuruh Hudzaifah Ibnul Yaman bagi mengintip keadaan lawan.

Baginda juga membolehkan Nuaim bin Mas’ud supaya memecah-belahkan pihak musuh. Namun, bukan itu yang menyebabkan lawan bercerai-berai. Itu hanya usaha manusia. Yang memenangkan pertempuran adalah Allah. Dengan hanya mengirimkan angin, Allah membuat pasukan Ahzab menjadi kucar-kacir. Mereka lari tunggang-langgang meninggalkan medan pertempuran dengan rasa yang mencengkam.

Begitulah perjuangan. Ia tidak hanya cukup dengan kerja keras dan usaha maksimum, tetapi juga memerlukan bantuan daripada Allah. Sebaliknya, bantuan daripada Allah tidak akan turun begitu sahaja. Ia memerlukan usaha yang maksimum. Dua factor ini ibarat duit syiling yang tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanyalah yang menyebabkan lahirnya kejayaan. Dalam konteks sekarang, dua factor ini tidak boleh diabaikan. Kerana musuh sudah mengerahkan usaha mereka untuk memusnahkan Islam, seharusnya kaum muslimin pun begitu, bahkan perlu lebih gigih lagi. Menghadapi pelbagai bentuk serbuan daripada musuh, ia memerlukan strategi yang jitu, kecerdasan otak dan usaha yang besar. Kemenangan memang akan menjadi milik umat Islam. Tapi, bukan tugas kita untuk menunggu. Tugas kita berusaha.

Oleh itu, datangnya pertolongan Allah itu bersyarat. Ia hanya akan datang kepada mereka yang sudah berusaha menolong agama-Nya.

Allah telah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”

(Muhammad; 7)

Jadi jangan berharap pertolongan Allah akan muncul kalau kita tidak pernah berusaha menolong agama-Nya. Pertolongan Allah bukan suatu yang percuma.

Diambil dari buku yang berjudul "Belajar dari Dua Umar; kenyangkan perut rakyat"
Categories: , ,

0 comments: