09 August 2008

Posted by jinson on Saturday, August 09, 2008 No comments
Muqaddimah.


Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang
menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain . Ia
merupakan ikatan rabbani , ikatan yang diikuti dan dibina atas dasar
ketaatan kepada Allah yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan
ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh
Nabi saw. yang bermaksud :
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah
dan marah juga kerana Allah” . (Hadith riwayat Imam Ahmad)


Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah suatu tunggak yang menjadi
tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan juga
sebagai sendi yang menghubungkan anggota masyarakat .

Harakah Islamiyyah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang
dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-
olah satu bangunan yang tersusun rapi , satu anggota memperkuatkan
satu anggota yang lain . Ianya umpama satu jasad yang apabila satu
daripada anggota jasad itu merasai sakit , maka seluruh anggota yang
lain turut menanggung penderitaannya .

Ukhuwwah Dalam Konteks Amal Islami

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan
sempurna dan berperanan dalam pembangunan jemaah , Islam telah
menjelaskan cara-cara begaimana hak-hak dan kewajipan tersebut
dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan kepada
tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan hanya sekadar ucapan
dibibir atau teori semata-mata .

1. Ukhuwwah ( yang terjalin antara seorang mukmin dengan seorang
mukmin yang lain ) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka
kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda baginda
Rasulullah saw. yang bermaksud :
“Sesiapa yang Allah ingin dikurniakan kebaikan kepadanya , nescaya
Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih , jika
sekiranya ia terlupa (lalai) teman itu menolong memberi peringatan ,
dan apabila (temannya itu) memperingatkannya , ia akan menolongnya” .

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Saidina
Umar Al-Khattab r.a yang mengatakan : “Engkau mestilah mencari saudara-
saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka , kerana mereka itu
adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan”.


2. Di sudut kejiwaan pula , ukhuwwah merupakan satu keperluan
kerjasama , turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang
lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut
tuntutan sabda Rasulullah saw:
“Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan
tujuan memenuhi keperluannya ( dan baginda menunjukkan isyarat dengan
jari-jari baginda ) amalan itu lebih utama dari ia beri’ktikaf selama
dua bulan di dalam masjid ku ini” . ( Hadith riwayat Al-Hakim dan ia
mengatakan sanad-sanadnya sahih ) .


3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana
sabda Rasulullah saw . :
“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia
nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat .
Sesiapa yang memudahkan seorang yang di dalam kesusahan nescaya Allah
akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang
menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara
rahsianya di dunia dan di akhirat . Dan Allah sentiasa menolong
seseorang hamba selama ia menolong saudaranya” .


4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi
kewajipan-kewajipan yang ringkas . Sehubungan dengan perkara ini
Rasulullah saw. bersabda :
“Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam
perkara : (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau
memberi salam , (2) Apabila ia menjemputmu maka penuhilah
jemputannya , (3) Apabila ia meminta nasihat hendaklah engkau memberi
nasihat kepadanya , (4) Apabila ia bersin dan bertahmid maka hendaklah
engkau lengkapkan dengan bertasymit ( mengucapkan yarhamukaLlah ) ,
(5) Apabila ia sakit hendaklah engkau menziarahi , dan (6) Apabila ia
meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya” . (Hadith
riwayat Muslim)

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan , kasih sayang dan saling bantu-
membantu . Berhubung dengan perkara ini Allah berfirman dalam surah al-
balad ayat ke 17 yang bermaksud : “ Selain itu dia termasuk dalam
golongan orang yang beriman dan berwasiat satu sama lain supaya
bersabar dan dengan berkasih sayang”.

Rasulullah saw. bersabda :
“Janganlah kamu saling memutuskan silatur-rahim , janganlah kamu
saling belakang-membelakangi , janganlah kamu saling benci-membenci
dan janganlah kamu saling hasad-menghasad . Sebaliknya jadilah kamu
hamba-hamba Allah yang bersaudara . Tidak halal ( haram ) bagi seorang
muslim itu memulaukan saudaranya ( yang mukmin ) melebihi tiga hari” .

Rasulullah saw. juga bersabda :
“Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan , walaupun
dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu ( kerana itu juga
satu kebaikan ) . ( Hadis riwayat Muslim )

Dalam hadis yang lain Rasulullah juga bersabda :
“Setiap perkara kebaikan adalah sedekah . Sesungguhnya di antara
perkara ma’ruf itu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan
menolong memenuhi bejana saudaramu dengan air” . (Hadis riwayat Al –
Tirmidhi)

Selain itu Rasulullah juga menjelaskan cara yang paling baik dan
praktikal untuk merapatkan ukhuwwah ialah dengan memberikan hadiah .
Sabda Nabi yang bermaksud :
“Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih
sayang dan akan jauhlah permusuhan” . (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)


6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana
Rasulullah saw. bersabda :
“Barangsiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya
Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari Qiamat” .
(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Seseorang Islam itu juga diingatkan supaya mendoakan untuk saudara
seIslamnya . Ini penting kerana dalam satu hadis Nabi bersabda yang
bermaksud : “Doa seseorang muslim untuk saudaranya di belakangnya
adalah mustajab , terdapat malaikat yang dihantar khas untuk
mendengarnya , lalu malaikat itu akan berkata setiap kali dia berdoa :
Amin , dan bagimu juga seperti yang kamu doakan untuk saudaramu” .

Tambahan pula jika kita mempunyai kesilapan terhadap saudara kita ,
sudah tentulah kita perlu meminta ampun dari Allah untuknya . Menurut
Al Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ ulumiddin cara ini lebih baik dan
praktikal dari kita pergi memberitahunya kesilapan kita terhadapnya
lalu menambah kemarahannya kepada kita .


Penutup :

Demikianlah secara ringkas tanggungjawab yang terpikul atas bahu kita
selaku umat Islam , lebih-lebih lagi dalam konteks kehidupan kita
secara berjemaah sudah tentulah perkara seperti ini dipandang secara
lebih serius . Inilah rahsia kejayaan Nabi , para sahabat dan golongan
salaf sebelum kita , yang telah berjaya membangunkan tamadun yang
tidak ada tolok bandingnya sepanjang sejarah kehidupan manusia .
Mereka merupakan generasi Islam beriman yang unik yang menjadi model
kepada semangat ukhuwwah dan kasih sayang sesama mereka.


Bersahabat atas dasar aqidah akan berkekalan abadan abada, insyaallah

Categories: ,

0 comments: