10 August 2008

Posted by jinson on Sunday, August 10, 2008 No comments
Apabila menyebut, melihat, mendengar tentang anjing..selalu orang berfikir bahawa binatang itu jijik, haram dimakan dan sekiranya tersentuhnya maka perlu dibasuh dengan 1 air tanah dan 6 air mutlak..hmm..itu la selalunya yang bermain diminda kita..kita kadang2 terlupa tentang keistimewaan haiwan ini..sehinggakan namanya disebut dalam Al-Quran dan menjadi bacaan umat Islam sehingga ke hari kiamat.

di sini ana menyenaraikan SEPULUH ciri-ciri, sifat-sifat dan perlakuan mulia anjing yang boleh disifatkan menyamai amalan orang-orang soleh yang sentiasa ada Allah s.w.t di hatinya.

Seorang ulama bernama Hassan al-Basri r.a pernah mengatakan bahawa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Makan setelah lapar, berhenti sebelum kenyang

Pertama; anjing itu sentiasa lapar, ia jarang makan sampai kenyang apatah lagi tidur tergolek dalam kekenyangan.

Sifat ini adalah sama dengan sifatnya orang-orang soleh. Mereka makan hanya apabila berasa lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Tawakkal dan mengembara

Kedua; anjing tidak mempunyai tempat yang tetap. Ia selalu berpindah randah mengikut keperluan hidupnya.

Sifat ini adalah sifat orang yang bertawakkal kepada Allah. Mereka mengembara ke merata-rata tempat untuk menuntut ilmu dan menyampaikan dakwah Islamiyyah.

Tidur yang sedikit

Ketiga; anjing tidak tidur di waktu malam, melainkan sedikit sahaja. Dia selalu berjaga-jaga.

Sifat ini sama seperti sifat orang-orang soleh yang cintakan Allah s.w.t, di mana mereka sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah s.w.t.

Zuhud

Keempat; jika anjing mati, dia tidak ada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewarisi.

Sifat ini adalah sama dengan sifat hamba-hamba Allah yang zuhud. Mereka membelanjakan semua harta ke jalan Allah s.w.t sehingga tiada pusaka untuk diwarisi.

Tidak marah tidak merajuk

Kelima; anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan diri dari tuannya sekalipun dipukul atau dimarahi.

Sifat ini adalah sama dengan sifat pelajar-pelajar yang siddiqin yang sedang menuntut ilmu dengan gurunya. Tidak marah dan tidak merajuk sekalipun kesabarannya diuji dengan pelbagai ujian.

Tawadduk, redha dan tidak sombong

Keenam; anjing lebih redha dan rela bertempat di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia.

Sifat ini adalah sama dengan sifat-sifat orang-orang yang tawadduk, suka merendah diri dan tidak sombong diri.

Tiada dendam

Ketujuh; Jika tempatnya diambilalih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, anjing akan berpindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau menaruh dendam.

Ini adalah sama dengan sifat orang-orang soleh yang sentiasa redha dengan bahagiannya yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Khusyuk

Kelapan; Jika anjing dipukul, dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan, ia menerimanya dengan hati terbuka. Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang telah berlalu.

Sifat ini adalah sama dengan sifat orang-orang yang khusyuk.

Redha rezeki Allah

Kesembilan; jika anjing melihat manusia makan, ia melihat sahaja dari jauh, tidak meminta-minta atau mengganggu. Jika diberi, ia makan. Jika tidak diberi makan, ia akan berdiam sahaja.

Ini adalah sama dengan sifat orang-orang miskin yang redha akan pemberian rezeki oleh Allah s.w.t.

Istiqamah

Kesepuluh; jika anjing berjalan atau pergi dari tempat asalnya, ia tidak menoleh ke belakang dan terus berjalan.

Ini adalah sama dengan sifat orang-orang susah yang istiqamah mencari keredhaan Allah s.w.t.

Demikianlah sepuluh sifat mulia yang ada pada makhluk yang kita gelar anjing dan Hasan al-Basri menyifatkannya sebagai bersamaan dengan sifat-sifat yang dimiliki oleh orang-orang yang soleh.
Categories: ,

0 comments: